Ketawa Rasulullah berupa senyuman. Paling tidak pun hanya menampakkan gigi baginda sahaja dan ia merupakan ketawa yang berkarisma, tidak mengeluarkan suara atau terbahak-bahak. Ia diceritakan sendiri oleh wanita yang paling hampir dengan baginda iaitu isteri baginda, Saidatina Aisyah. Aisyah r.a berkata “ Sekalipun aku tidak pernah melihat Rasulullah berlebih-lebihan ketika ketawa hingga nampak mulutnya. Ketawanya hanya berupa senyuman”.
Malah kerana senyuman baginda juga barang-barang dagangan baginda habis terjual. Maisarah,pembantu Saidatina Siti Khadijah pernah mengusik Khadijah dengan berkata,
“Salah satu faktor yang menjadikan barang-barang dagangan kita laris terjual semasa di Syam adalah kerana Muhammad juga. Wajahnya yang tampan itu sentiasa terukir dengan senyuman. Beliau sentiasa tersenyum pada semua orang yang berurusan dengannya. Walaupun Muhammad tidak banyak bercakap, tetapi beliau sentiasa memberikan senyuman. Dengan senyuman beliau itu sudah cukup membuatkan barang-barang kita habis terjual”.
Nabi S.A.W merupakan manusia yang paling banyak tersenyum sehinggalah di saat-saat akhir hayat baginda. Di antara beberapa peristiwa yang paling berkesan di hati ialah kejadian terakhir dari senyum Nabi S.A.W dan sekaligus menjadi penutup dari senyuman-senyuman dalam hidup baginda. Senyuman baginda merupakan pantulan keredhaan terhadap umatnya. Anas bin Malik r.a. berkata: “Sesungguhnya Abu Bakar solat(menjadi imam) ketika Nabi S.A.W sakit yang disusuli dengan kewafatan baginda. Pada hari Isnin ketika kaum muslimin berada dalam saf, Rasulullah menyingkap kain tabir bilik lalu memandang ke arah kami dalam keadaan berdiri seakan-akan wajah baginda ibarat sehelai kertas. Kemudian Rasulullah S.A.W tersenyum. Kami seperti bingung ketika bersolat kerana merasa gembira Nabi S.A.W akan keluar. Abu Bakar undur ke belakang untuk mencapai saf dan menyangka baginda akan keluar untuk mengimamkan solat, namun Rasulullah memberi isyarat dengan tangannya yang bermakna: “Selesaikanlah solat kamu!”. Kemudian baginda masuk dan menjatuhkan kain tabir.” Anas berkata : “Rasulullah wafat pada hari itu juga.”(Riwayat Muslim). Dalam riwayat lain, Anas bin Malik berkata, “Kali terakhir aku melihat Rasulullah tersenyum adalah ketika baginda membuka kain tabir pada hari Isnin.”(Riwayat Muslim)
Senyuman Rasulullah S.A.W mencerminkan indahnya akhlak baginda dalam tindak tanduknya sehari-hari. Manis senyumnya memancarkan keindahan bagai menembusi dimensi waktu ribuan tahun dan jarak ribuan kilometer. Itupun akan terus berlanjut hingga kiamat nanti. Sampai sekarang pun kita masih merasakan getar-getar senyuman kasih sayang baginda yang terkandung dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah. Itulah kemuliaan baginda Rasulullah yang masih kita rasai sampai saat ini.
“Senyum Sokmo”
No comments:
Post a Comment